Assalamualaikum dear all beloved customers, we have moved to a new and improved website, equipped with shopping cart and login features. All new stocks will be updated in the new website but we will also announce it in this blog.. If you wish to shop or making an order for Batik online, please proceed to our official website at www.alkhattabbatik.com. This blog will still be updated for batik information, latest offer and announcement. Thank You :-)

Wednesday, 4 July 2012

Hikmah Bulan Syaaban dan Nisfu Syaaban

Apakah hikmah bulan Syaaban ini serta signifikan Nisfu Syaaban pada umat Islam? Mungkin masih ada antara umat Islam yang dalam kekeliruan berkenaan perkara ini, serta kurang arif akan kepentingan Syaaban dalam mempersiapkan diri kita menempuh bulan Ramadhan yang bakal mendatang.
AlKhattab Batik kongsikan sedikit informasi yang dipetik dari beberapa artikel berkenaan apa itu Syaaban, hikmah bulan Syaaban serta Nisfu Syaaban.

APA ITU SYAABAN?
Bulan Syaaban merupakan bulan selepas Rejab dan sebelum Ramadhan. Bulan Syaaban juga merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, dan pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
Syaaban dari segi bahasa bermaksud berpecah-pecah atau berpuak-puak. Dikatakan masyarakat Quraisy pada waktu itu berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir. Dan apabila datangnya Rasulullah S.A.W, baginda mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah S.A.W telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya, antara yang paling masyhur adalah apabila Rasulullah S.A.W bertanya kepada sahabat-sahabatnya;
“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah S.A.W lagi, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama)


MALAM NISFU SYAABAN
Nisfu menurut Bahasa Arab bermaksud setengah. Nisfu Syaaban pula bermaksud setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam ke-15 Syaaban iaitu siangnya 14 haribulan Syaaban. Maka, Nisfu Syaaban adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah.
Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W tidak tidur pada malam Nisfu Syaaban ini, sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a: 
 “Rasulullah S.A.W telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda S.A.W dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda S.A.W berkata dlm sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”  
Baginda Rasulullah sendiri telah menggalakkan kita agar beramal pada malam kemuliaan Nisfu Syaaban. 
Sebagaimana sabda Baginda:
"Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, maka hendaklah kalian bangun pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya, ini kerana Allah SWT (merahmati hamba-hambaNya) pada malam tersebut mulai dari terbenamnya matahari ke langit dunia. Allah SWT berfirman,"Adakah dari kalangan hamba-hambaKu yang memohon keampunan, maka akan Ku ampunkannya. Adakah dari kalangan mereka yang memohon rezeki, maka akan Ku turunkan rezeki untuknya. Adakah dari kalangan mereka orang yang ditimpa bala, maka akan Ku sejahterakannya. Adakah dari kalangan mereka yang begini dan adakah dari kalangan meraka yang begini sehinggalah terbit fajar?.""

Setelah Baginda S.A.W selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang yg dengki.”
Hari Nisfu Syaaban juga adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Syaaban bermula pada 14 hb Syaaban sebaik sahaja masuk maghrib).

APAKAH FADHILAT BULAN SYAABAN?
Antara fadhilat-fadhilat bulan Syaaban serta amalan yang digalakkan adalah:
1) Memperbanyakkan puasa sunat
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah S.A.W lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Sabda Rasulullah SAW, "Barangsiapa berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan di bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya Sakaratulmaut dan ditolakkan daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripadanya huru-hara Munkar dan Nakir, ditutup Allah keaibannya sewaktu Hari Kiamat dan diwajibkan syurga buatnya. Barangsiapa berpuasa pada awal hari Khamis pada bulan Syaaban dan akhir Khamis dari Syaaban, dimasukkan dia ke dalam syurga" (dari Kitab Al-Barakah). 
Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dan mengikut sunnah Baginda dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini. Begitulah tingginya pekerti Nabi Muhammad nabi junjungan kita.
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid." 

2) Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W.
Kita sebagai umat Islam juga digalakkan untuk memperbanyak doa, zikir, dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

3) Bertaubat
 Kita juga diseru untuk memohon taubat dan keampunan kepada Allah SWT pada bulan Syaaban ini. Sebagaimana sabda Rasulullah yang driwayatkan dari Umamah Al Bahili, "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niat mu." Sabda Baginda lagi, "Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu." Berkata Siti Aisyah r.a, "Bulan yang lebih dikasihi oleh Rasulullah SAW ialah bulan Syaaban." Sabda Nabi Muhammad SAW lagi, "Syaaban adalah bulanku, dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa."


Selain terdapat banyak hikmah dalam bulan Syaaban termasuklah Nisfu Syaaban, dalam bulan Syaaban juga terjadinya peristiwa pertukaran arah kiblat dan peperangan Bani Mustaliq. Sesungguhnya marilah kita memanfaatkan hikmah bulan Syaaban dan Nisfu Syaaban tahun ini dan rebutlah peluang yang dikurniakan Allah dalam bulan ini sebaik mungkin. Siapa tahu, mungkin Syaaban kali ini adalah yang terakhir buat kita. Waalahua'lam.

kredit artikel dan hadis dari http://hikmah.org.my

1 comment:

  1. salam gan ...
    menghadiahkan Pujian kepada orang di sekitar adalah awal investasi Kebahagiaan Anda...
    di tunggu kunjungan balik.nya gan !

    ReplyDelete

Order Form